Strong Heart ep.5: Rapuh

aku hanya manusia biasa
yang menggagahi hari demi hari dengan kudrat izin Si Pencipta
aku cuba tampil "sempurna"
tapi terkadang aku rapuh juga
berkali-kali...bukan sekali cuma
kerana hakikatnya sifat sempurna bukan milik hamba

aku mungkin mampu membohongi kamu dan mereka
tapi aku tak mampu membohongi diri dan Tuhan Maha Esa
ternyata, tak terlawan gelodak jiwa
bila dihenyak perasaan fitrah seorang manusia
aku jadi lemah dan tak berdaya

ya, aku hanya manusia biasa 
yang cuba menjadi luar biasa
yang berusaha mempasakkan cinta pada Si Pengurnia Cinta
biar aku tak lupa apa tujuan aku diciptakan di dunia
walau diasak godaan dunia yang memperdaya
aku kan cuba bertahan demi menuju destinasi cinta, hakikat bahagia

Tuhan, kau kuatkan jiwa hamba
penuhi ia dengan keyakinan bahawa Kau telah tetapkan semuanya
katakan padanya jika Kau akan uruskan segalanya
jadikan ia redha pada segala ketentuan, lambang pengabdian cinta 
sebuah jiwa yang merdeka



"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai"

"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

0 comments: